Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin merasmikan pelancaran pada persidangan kebangsaan tahunan Angkasa kali ke-32 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2017.
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dijangka membentangkan akta baharu berkaitan koperasi pada sidang Dewan Rakyat yang bermula pada Isnin depan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, akta baharu itu bakal diperkenalkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam usaha untuk membantu koperasi-koperasi kecil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Biarlah ANGKASA sebagai apeks kepada gerakan koperasi untuk memastikan mereka boleh membantu koperasi-koperasi kecil ini untuk dipertingkatkan menjadi salah satu satu sektor yang boleh membantu dari segi pembangunan ekonomi domestik.

“Kalau ini kita boleh berikan kerjasama melalui ANGKASA, SKM ataupun koperasi, saya yakin koperasi boleh membantu dari segi pertumbuhan ekonomi dalam negara kita,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) ke-32 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, akta yang bakal dibentangkan ke Parlimen itu tidak akan menyekat perkembangan koperasi-koperasi di negara ini bagi membolehkan mereka bersaing bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat dunia.

“Kita akan liberalisasikan beberapa akta yang memberi ruang kepada mereka bebas untuk menyertai perdagangan dalam negara kita dan ia lebih mudah daripada apa yang dilakukan pada hari ini.

“Kadang-kala keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga itu (koperasi) untuk memastikan ia boleh dicapai dengan cepat, bebas dan tiada kuasa-kuasa lain boleh menyekat mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Hamzah menegaskan bank koperasi di negara ini perlu dijalankan oleh golongan profesional yang dapat membantu koperasi-koperasi dengan lebih bertanggungjawab.

“Kita sudah ada dua bank koperasi iaitu Bank Rakyat dan Bank Kerjasama. Tapi masalahnya bila kita nak memastikan sistem perbankan ini menjadi satu sektor yang membantu koperasi-koperasi.

“Biarlah ia dijalankan oleh ahli-ahli profesional yang benar-benar bertanggungjawab dalam memastikan kecairan perbankan itu mendapat kepercayaan daripada bukan hanya tempatan malah masyarakat di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast