MUAR – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberhentikan serta-merta siaran lagu Despacito di semua stesen radio dan televisyen milik kerajaan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengakui penggemar lagu berkenaan beranggapan pengharaman lagu berkenaan dilakukan tanpa melihat kepada keseluruhan mesej yang disampaikan dalam lagu berkenaan.
Pengharaman itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak baru-baru ini.
Menurut Ahmad Shabery, jika hendak dibandingkan lagu dangdut nyanyian artis dari Indonesia Cita Citata berjudul Perawan Atau Janda yang sering berkumandang di stesen-stesen radio ia ternyata mengandungi senikata yang lebih erotik.
“Itu terpulang kepada menteri (Salleh Keruak) untuk mengharamkannya dalam RTM walaupun lagu tu saya suka.
“Tetapi bagi saya mesej yang lebih seksi ada dalam lagu Perawan Atau Janda itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini semalam.
Ahmad Shabery yang pernah menyandang jawatan sebagai menteri komunikasi dan mutimedia pada penggal yang lepas berkata, penarikan semula lagu tersebut oleh panel penilai RTM susulan aduan awam mungkin disebabkan mereka tidak faham senikata lagu berkenaan yang disampaikan dalam bahasa Spanish.
“Senikata (lagu) Perawan Atau Janda itu apa kurangnya?” soal beliau.
Sebelum ini, tular dilaman sosial apabila Ahmad Shabery menunjukkan kebolehan bermain dram diiringi Lagu terbaharu nyanyian Justin Bieber, Luis Fonsi dan Daddy Yankee itu yang digubah semula liriknya kepada versi hari raya.
Video yang digubah semula oleh Damian Mikhail dan Amira Aman dan Farique FrequensiNSSN dimuat naik pada 23 Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ia merupakan terbitan Damian dan Umair Al Z dengan liriknya oleh Farique.
Despacito Raya boleh ditonton di Facebook dan Twitter rasmi Ahmad Shabery. – MalaysiaGazette