Air dari tangki yang pecah dari aras empat bangunan Kompleks Teruntum dalam kejadian hari ini menyebabkan motoksikal yang berada di ruang parkir rosak. Akibatnya, empat orang cedera ringan manakala sepuluh buah motosikal dan tiga buah kereta rosak terkena serpihan. Semua premis perniagaan dan pejabat kerajaan di Kompleks Teruntum diarah menghentikan operasi serta-merta. fotoBERNAMA

KUANTAN – Semua premis perniagaan dan pejabat kerajaan di Kompleks Teruntum di sini diarah menghentikan operasi serta-merta ekoran kejadian tembok batu runtuh akibat tangki air di tingkat empat bangunan itu pecah hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan kerana bimbang kejadian serupa berulang selepas meninjau kerosakan struktur kompleks yang terletak di Jalan Mahkota-Seri Kuantan di sini.

“Arahan penutupan membabitkan premis perniagaan dan pejabat kerana kita dimaklumkan kejadian ini menyebabkan bekalan air serta sistem pendingin hawa di Kompleks Teruntum tidak berfungsi.

“Tempoh penutupan operasi akan ditentukan kemudian selepas melakukan pemeriksaan lanjut bersama Jabatan Kerja Raya Pahang dan pihak pengurusan bangunan,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Wahab juga mengesahkan dalam kejadian 1 tengah hari itu empat orang awam cedera ringan selain tiga buah kereta dan 10 motosikal yang diletakkan di ruang letak kenderaan berhampiran kompleks tersebut rosak akibat dihempap serpihan tembok.

Difahamkan kali terakhir pihak pengurusan kompleks berkenaan menukar tangki air itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.

Kompleks itu dibuka pada Januari 1980 dan mempunyai 21 tingkat dengan tiga daripadanya dikhusus sebagai premis perniagaan manakala selebihnya adalah ruang pejabat.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast