Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Keghairahan sekumpulan empat sahabat bermain air di pantai Kemasik, Kemaman bertukar duka selepas dua daripada mereka ditemukan lemas manakala dua lagi dapat diselamatkan oleh nelayan dalam kejadian lewat petang semalam.

Mayat Mohd Arif Hafiz, 9, dan Mohd Faiz Mohamad, 16, ditemukan pada 10.15 dan 10.30 malam masing-masing, tidak jauh dari tempat mereka dilaporkan hilang ketika mandi-manda di pantai itu.

Dua lagi rakan mereka, Taufik Irfan, 11, dan Mohd Dyany Azranie Mohd Ruddy, 10, berjaya diselamatkan oleh beberapa nelayan yang berada di kawasan berhampiran.

Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim berkata, keempat-empat mereka dipercayai ke pantai berkenaan untuk mandi-manda pada 6.20 petang.

Bagaimanapun, mereka dilaporkan menghadapi masalah tidak lama kemudian sebelum dua daripada mereka tenggelam, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat yang dilancarkan kemudian menemukan Mohd Arif kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan hilang, manakala mayat Mohd Faiz ditemukan oleh pasukan skuba kira-kira 150 meter dari lokasi mereka mandi.

Mayat kedua-duanya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – Bernama