Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Tan Sri Shahrir Samad.

PUTRAJAYA – Felda hari ini memberikan tempoh selama enam bulan kepada lebih 17,000 peneroka agar kembali kepada badan itu.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, perkara itu perlu bagi membolehkan mereka menikmati keenam-enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

“Seramai 17, 679 peneroka yang bertindak keluar daripada Felda kami beri tempoh enam bulan kepada mereka untuk kembali menjual hasil kepada kita.

“Ini bukan kerana urusan untuk menguruskan kebun mereka, mereka ini ada uruskan kebun mereka sendiri dan tidak mahu jual hasil menerusi Felda,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya.

Tempoh enam bulan itu diberikan bermula Ogos depan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Felda.

Daripada keenam-enam insentif berkenaan, peneroka yang gagal kembali ke Felda tidak akan dapat menikmati insentif pelupusan hutang baki pinjaman Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Bagaimanapun, kelima-lima insentif yang diumumkan Najib bakal dikecapi mereka.

Awal hari ini Najib mengumumkan enam insentif durian runtuh kepada sejumlah 94,946 peneroka Felda di seluruh negara.

Antaranya insentif RM5,000 kepada peneroka yang akan diterima pada akhir Ogos 2017.

Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 kepada setiap peneroka dan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV libatkan lebih 77,000 peneroka.

Kelulusan bagi pinjaman pembesaran rumah tanpa faedah berjumlah RM40,000 dan boleh membina lebih dari satu unit rumah dalam satu tapak.

Geran tanam semula melibatkan RM7,500 bagi setiap hektar dan dana khas RM300 juta diwujudkan bagi tempoh 2017 hingga 2021 bagi melupuskan lebihan hutang tanam semula melebihi jangkaan RM40,000. – MalaysiaGazette.