Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama orang ramai diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor (empat kanan) dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad (dua kanan) pada Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 23 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Semua peneroka Felda di seluruh negara hari ini menerima durian runtuh sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan enam insentif yang mengembirakan sejumlah 94,956 peneroka.

Antaranya, insentif RM5,000 kepada peneroka yang akan diterima pada akhir Ogos 2017.

Ia melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM474.7 juta.

Kedua, pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 kepada setiap peneroka yang melibatkan peruntukkan berjumlah RM519 juta.

Turut diberikan, pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV libatkan lebih 77,000 peneroka.

Manakala imbuhan RM1,820 bagi peneroka yang melangsaikan pinjaman saham mereka.

Insentif keempat adalah kelulusan bagi pinjaman pembesaran rumah tanpa faedah berjumlah RM40,000 dan boleh membina lebih dari satu unit rumah dalam satu tapak.

Insentif ini melibatkan 70,000 tapak rumah peneroka dengan jumlah kos keseluruhan RM2.8 billion.

Najib turut mengumumkan insentif kelima​ iaitu geran tanam semula melibatkan RM7,500 bagi setiap hektar.

Terakhir adalah, dana khas RM300 juta diwujudkan bagi tempoh 2017-2021 bagi lupuskan lebihan hutang tanam semula  melebihi jangkaan RM40,000. – MalaysiaGazette