Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membawa tali bot dalam bantahan di hadapan Kedutaan Indonesia hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd. Yunos hari ini membawa tali bot di Kedutaan Indonesia.

Tali bot itu sebagai simbol mendesak pihak berkuasa Indonesia untuk membebaskan nelayan-nelayan dan dua buah bot nelayan yang telah ditahan dan ditunda ketika menangkap ikan di perairan Malaysia baru-baru ini.

Bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dan mereka yang mewakili keluarga nelayan Sekinchan membantah sekeras-kerasnya tindakan penguat kuasa Indonesia yang disifatkan sebagai pengkhianat menyalahgunakan kuasa menahan dan menunda bot nelayan tempatan di perairan Malaysia.

“Ini bukanlah perkara baru, pihak penguatkuasa Indonesia bukan sahaja menceroboh sempadan perairan Malaysia, malah bertindak tanpa perikemanusiaan merampas, mengmabil kesemua aset dan mengebom bot nelayan tersebut sebelum ini, walaupun dalam kes yang terdahulu, nelayan-nelayan kita telah dibenarkan pulang ke Malaysia.

“Mereka ini adalah nelayan, cari makan tetapi apa yang telah dibuat oleh penguatkuasa dari Indonesia adalah perkara di luar batasan. Kita bersetuju jika nelayan-nelayan ini jika melakukan kesalahan menangkap ikan di perairan Indonesia, dikenakan tindakan tetapi melalui data terakhir yang kita perolehi membuktikan bahawa nelayan-nelayan tersebut dalam perairan Malaysia dan ditunda penguatkuasa Indonesia dan akhirnya mendakwa nelayan dari Sekinchan ini menangkap ikan di perairan mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempertikai agensi penguatkuasa dari Malaysia sendiri seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dari perikanan ketika nelayan-nelayan ini ditangkap, kerana perkara sebegini sudah terlalu kerap berlaku dan akhirnya merugikan para nelayan yang mencari pendapatan di perairan Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast