KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menyasarkan untuk mencapai status sifar rasuah, hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Di ibu negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengetuai lafaz ikrar IBR bersama lebih 200 anggota polis pada majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Hadir sama pada acara itu ialah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Selesai pembacaan lafaz ikrar itu, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani dokumen IBR antara Abdul Khalid dan Dzulkifli.
Pada sidang akhbar kemudian, Abdul Khalid berkata IBR merupakan komitmen PDRM untuk menangani amalan rasuah dalam kalangan anggota polis dan tindakan akan dikenakan terhadap anggota yang terlibat dalam gejala itu.
“PDRM meletakkan sasaran sifar rasuah dalam kalangan anggotanya dan pelbagai tindakan akan dibuat bagi mencapai objektif ini. Saya mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan anggota PDRM, justeru usaha mencegah rasuah harus bermula daripada keikhlasan diri anggota polis itu sendiri untuk menolak rasuah,” katanya.
PDRM menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), katanya, akan berperanan memastikan integriti setiap pegawai dan anggota PDRM mencapai tahap tertinggi dan beberapa langkah sudah dibuat oleh JIPS untuk memantau kegiatan rasuah dalam pasukan itu.
Khalid berkata IBR yang ditandatangani hari ini juga diadakan secara serentak hari ini di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara.
PDRM ialah agensi penguatkuasaan yang pertama melaksanakan IBR dan ia turut dilakukan secara serentak di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara hari ini dalam membuktikan komitmen PDRM dalam memastikan integriti pasukan berada pada tahap tertinggi, katanya.
Di JOHOR BAHRU, kira-kira 10,000 pegawai, anggota dan kakitangan Polis Kontinjen Johor terlibat dalam majlis IBR yang dijalankan serentak membabitkan 13 Ibu Pejabat Polis daerah yang dijalankan di daerah masing-masing.
Di Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri, bacaan ikrar diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Kamarudin Md Din yang disertai 370 pegawai, anggota dan Kakitangan PDRM.
Majlis dimulakan dengan bacaan perutusan Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar dan penyerahan Dokumen IBR yang ditandatangani dan diserahkan kepada Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias.
Di KOTA KINABALU, seramai 3,435 pegawai dan anggota polis kontinjen Sabah hari ini melafazkan IBR.
Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata jumlah itu termasuk anggota dan pegawai di semua 20 ibu pejabat polis daerah di negeri ini.
“Saya berkeyakinan bahawa IBR ini menjadi amaran, peringatan dan juga jaminan kepada golongan berkepentingan dan pelanggan dan ia juga sebagai pengakuan akujanji dan komitmen untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Di ALOR SETAR, Kira-kira 600 anggota polis di IPK Kedah dan sekitar Alor Setar hari ini melafazkan ikrar yang sama.
Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Sahabudin Abdul Manan mengetuai bacaan IBR itu sebelum menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohammad di Dewan Utama, IPK Kedah di sini hari ini.
Selain IPK Kedah, Sahabudin berkata majlis melafazkan IBR itu turut diadakan di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri melibatkan kira-kira 5,000 anggota polis.- BERNAMA