Elizabeth Wong ketika majlis pelancaran kempen larangan menggunakan beg plastik tahun lepas.

SHAH ALAM – Sebanyak RM1.87 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak kerajaan Selangor melaksanakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ bermula 1 Jan lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kutipan itu hanya membabitkan peniaga pasar raya dan premis makanan yang memaklumkan menerusi laporan data kutipan caj 20 sen dari Januari sehingga Mei lepas kepada kerajaan negeri menerusi persatuan peniaga masing-masing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 63.98 peratus kutipan membabitkan peniaga pasaraya manakala selebihnya membabitkan peniaga premis makanan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) yang bertanya mengenai statistik kutipan 20 sen beg plastik yang diperoleh peniaga menerusi pelaksanaan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ di  Selangor.

Menjawab soalan Lee mengenai kos pelaksanaan kempen berkenaan, Wong (PKR-Bukit Lanjan) berkata sehingga 30 Jun lepas, kerajaan negeri telah membelanjakan RM213,678.30 termasuk bagi pembelian poster, pembelian bunting dan pembelian beg ‘non woven’.

Sebelum ini, Wong berkata caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik adalah selaras dengan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ di Selangor, menyebabkan pelbagai pihak mengkritik tindakan itu kerana menganggapnya sebagai membebankan orang ramai.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast