Yusoff, 58, yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat lepas,
mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Dia didakwa atas pertuduhan memandu kereta dengan nombor pendaftaran BLY 68 di lorong kecemasan Lingkaran Putrajaya di Putrajaya kira-kira 6.27 petang pada 7 Okt 2016 yang bertentangan dengan Kaedah 53(1) Kaedah Lalu lintas Jalan 1959.
Selepas pertuduhan dibacakan Yusoff, yang memakai sut biru gelap menjawab “Saya mengaku tidak bersalah”. Hari ini pertuduhan itu dibacakan semula dengan kehadiran Yusoff.
Pada 18 Julai lepas, Yusoff tidak hadir di mahkamah sama bagi merekodkan pengakuannya tetapi telah menghantar pegawai khasnya bagi mewakilinya untuk mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.
Prosiding kes itu bermula pukul 8.50 pagi dan berakhir pada 9 pagi. Yusoff yang merupakan Orang Kena Saman berdiri di luar kandang tertuduh.
Terdahulu peguam Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan representasi berhubung pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kepada Jabatan Peguam Negara.
Beliau juga memohon supaya pihak pendakwaan membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata pihaknya akan menyerahkan dokumen itu sebelum perbicaraan dan memerlukan masa sebulan bagi mendapat maklum balas berhubung representasi.
Majistret Syahrul Sazly Md Sain menetapkan 21 Ogos untuk mengetahui keputusan representasi dan sebutan kes. Bagaimanapun tiada jaminan ditawarkan kerana kes ini merupakan kes saman.
Wang denda RM600 juga telah dikembalikan semula kepada Yusoff. Selepas kes itu Yusoff yang keluar dari mahkamah bersama peguamnya juga memberikan kerjasama dengan jurugambar yang merakam wajahnya.
Di luar mahkamah, Baljit ketika ditanya mengapa anak guamnya tidak hadir pada prosiding lepas, berkata terdapat kekeliruan dan Yusoff juga tidak mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya mengenai kes itu.
Kes Yusoff mendapat perhatian ramai setelah tidak hadir di mahkamah pada 18 Julai lepas sebaliknya menghantar pegawai khasnya untuk mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dihadapinya.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadapnya. Pegawai khasnya telah membayar denda itu.
Bagaimanapun pada 21 Julai (Jumaat lepas) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula dan membuat pengakuan sendiri terhadap tuduhan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Indera Ab Karim Ab Rahman yang menggunakan kuasanya untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret itu juga mengetepikan hukuman denda RM600 yang dijatuhkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim.
Beliau juga mengarahkan supaya kes itu didengar di hadapan majistret baharu.
Pada hari sama, Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif juga memberitahu pemberita pada satu majlis bahawa kes itu telah dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret.
— BERNAMA