Home Nasional Perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan

Perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan

KUALA LUMPUR – Perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan bagi fasa ke-70 dua minggu lagi mulai hari ini sehingga 10 Ogos.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, tempoh perintah berkurung fasa itu dikuatkuasakan mulai pukul petang hingga 6 pagi melibatkan perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah.

Tujuh daerah itu ialah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurut beliau, perintah berkurung di perairan diteruskan bagi memastikan kawasan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Ia berikutan maklumat mendedahkan kumpulan yang terlibat dalam kegiatan penculikan mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu, orang ramai di daerah berkenaan tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan daratan di kawasan ESSZONE.

Tambah Ramli, perintah berkurung itu juga memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, semua ketua polis daerah terbabit dibenarkan mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung jika keadaan mendesak. – MalaysiaGazette