Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bercakap kepada media pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah / Terima Tugas Jawatan Pengarah Polis Diraja Malaysia Serta Pengerusi Perkep di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Polis tidak mempunyai masalah untuk membenarkan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan perhimpunan di Petaling Jaya selagi ia tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bagaimanapun perhimpunan yang diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijadualkan berlangsung pada 14 Ogos itu perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita tidak ada masalah jika mereka nak mengadakan perhimpunan. Selagi mereka patuhi akta berkenaan kita tak halang, itu yang polis nak,” katanya tanpa mengulas lanjut pada sidang media di Bukit Aman.

Sementara itu, Khalid berkata,  polis telah menahan enam remaja yang disyaki membaling bom molotov cocktail ke arah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah pada Sabtu lalu.

“Kita dah tangkap enam budak-budak pada keesokan hari selepas kejadian itu. Mereka sengaja nak tunjuk kerelevanan sebagai ahli geng kongsi gelap 24.

“Saya menasihatkan mereka yang cuba menggertak polis tidak dapat melarikan diri ke mana-mana kerana akhirnya akan masuk lokap juga. Jadi tidak perlu tunjuk keberanian baling bom petrol atas polis,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Khalid mengesahkan polis akan menyegerakan siasatan ugutan pancung kepala oleh individu tidak dikenali ke atas peguam Siti Zabedah Kasim. – MalaysiaGazette