Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) hadir pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat Bahasa Melayu dijadikan bahasa penghantar utama dunia.

Menurutnya, apa yang dilakukan dalam konteks seharian tidak seharusnya menghakis kaedah penggunaan Bahasa Melayu, menerusi pertuturan dan penulisan yang betul daripada segi tatacara.

“Apabila kita menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kita dapat melihat bagaimana penggunaan perkataan yang tunggang-langgang dan ejaan ‘hentam keromo’ dan penggunaan perkatan ‘lu dan gua’ iaitu bahasa media sosial sedikit sebanyak merosakkan keindahan Bahasa Melayu.

“Ini yang menghakis kedudukan Bahasa Melayu terutama sekali penguasaannya dan tatacara tepat dan betul. Saya harap kita janganlah cenderung gunakan Bahasa Melayu ikut trend sehari dua dalam media sosial yang sebenarnya menghakis kedudukan dan martabat Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pusingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

Pertandingan yang memasuki edisi ke-11 itu disertai 53 peserta dari 36 buah negara.

Najib berkata, Bahasa Melayu telah dijadikan wahana dalam membentuk perpaduan rakyat di negara ini dengan menjadi tali pengikat dalam membina masyarakat yang tenteram, damai dan sejahtera.

Najib berkata, semua pengamal dan pejuang Bahasa Melayu perlu mengambil peluang dan mengisi ruang dalam dunia tanpa sempadan untuk mengantarabangsakan dan memperkukuhkan teguhkan bahasa itu sebagai wadah pembangunan tamadun dan bangsa.

“Dalam keadaan global yang berdepan kemunculan ekonomi digital dan cabaran teknologi komunikasi dan maklumat kita seharusnya mengambil inisiatif di ruang siber terbuka ini untuk mengembangkan Bahasa Melayu sebagai dinamik dan terus relevan seiring era ekonomi digital,” ujarnya.

Sementara itu, Najib memberi jaminan misi Transformasi Nasional (TN) 2050 tidak sesekali meminggirkan Bahasa Melayu, sebaliknya akan terus memartabatkannya sebagai bahasa pertuturan universal kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast