Home Dunia Korea Utara boleh bedil sebahagian besar AS

Korea Utara boleh bedil sebahagian besar AS

Orang ramai menyaksikan pelancaran ICBM Hwasong-14 kali kedua pada 29 Julai lalu. foto AP

WASHINGTON – Ujian terbaru peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Korea Utara menunjukkan Pyongyang berkeupayaan untuk menembusi sebahagian besar Amerika Syarikat.

Ancaman peluru berpandu dan nuklear Pyongyang yang semakin meningkat itu telah menambahkan tekanan kepada pentadbiran Presiden Donald Trump.

Korea Utara yang melancarkan ICBM pada Sabtu lalu berkata, ia adalah kejayaan ujian untuk melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang mengawasi pelancaran roket tengah malam pada malam Jumaat lalu berkata, ia adalah “amaran tegas” ke Amerika Syarikat bahawa negara tersebut tidak akan terselamat daripada kemusnahan jika ia cuba menyerang, kata agensi berita rasmi KCNA.

Bagaimanapun, dua pegawai perisikan Amerika Syarikat yang mendedahkan perkara itu berkata, Jong-un juga mahu membangunkan ICBM yang mampu untuk menghalang sebarang serangan ke atas negaranya.

Jong-un juga mendapatkan legitimasi antarabangsa untuk tidak melancarkan serangan terhadap Amerika Syarikat atau sekutunya kerana beliau tahu ia adalah cubaan bunuh diri.

Pentagon enggan memberi komen mengenai penilaian terhadap pelancaran peluru berpandu itu, walaupun mengakui ujian itu merentasi laluan terpanjang dalam pelancaran mana-mana peluru berpandu Korea Utara.

Jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis dalam taklimat media mengakui, hanya peluru berpandu boleh terbang sekurang-kurangnya 5,500 kilometer adalah julat minimum untuk dikelaskan sebagai ICBM.

Dua pegawai Amerika Syarikat yang berasingan yang membincangkan ujian terbaru yang berlangsung sekitar 45 minit berkata, ia menunjukkan jangkaan yang lebih besar berbanding pelancaran ICBM 4 Julai lalu yang mengambil masa 39 minit. – MalaysiaGazette