Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memasukkan beg yang dipercayai berisi dokumen penting yang boleh membantu siasatan pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd ke dalam kereta rasmi suruhanjaya itu sebelum beredar dari Menara Felda, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini hadir ke Menara Felda di sini untuk mendapatkan dokumen penting dan bukti lain bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian dua hotel lebih tinggi dari harga pasaran.

Mereka yang tiba kira-kira pukul 10.11 pagi meninggalkan ibu pejabat agensi itu pada pukul 5.08 petang tadi selepas hampir tujuh jam menggeledah Menara Felda.

Sebanyak tiga beg dipercayai mengandungi dokumen penting bukti pembelian dua hotel oleh Felda Investment Cooperation (FIC) dibawa keluar pegawai SPRM sebenar tadi.

Kehadiran empat pegawai SPRM itu disyaki bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang pegawai khas kepada bekas Pengerusi Felda semalam dalam urusan pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak dan London.

Jumaat lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka terhadap pembelian kedua-dua hotel itu yang disyaki dibeli pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Sehingga kini, empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette