Suruhanjaya Pilihan Raya SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan diadakan pada 13 Oktober ini sebagaimana ditularkan melalui satu rakaman video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat SPR, kenyataan itu tidak benar sama sekali dan mengelirukan masyarakat.

“SPR telah mengesan terdapat dakwaan tersebut di media sosial yang mula ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak semalam.

“Faktanya, video yang tular itu adalah latihan simulasi oleh kakitangan SPR,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Hari ini tular klik video yang menunjukkan sekumpulan kakitangan SPR mendengar pengumuman tarikh PRU 14, kononnya hari mengundi awal pada 11 Oktober dan hari mengundi biasa 13 Oktober 2017.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya turut akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi SPR.

“Pengurusan tertinggi SPR sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette