KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab merakam dan menyebarkan video mengenai simulasi Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai tarikh PRU-14.
Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berharap, orang ramai tidak mempercayai dakwaan yang tersebar melalui video itu kononnya tarikh PRU14 telah ditetapkan.
“Berikutan penularan klip video mengenai pengumuman tarikh bagi PRU 14 di media sosial ketika ini yang kononnya akan diadakan pada 13 Oktober 2017, SPR ingin menjelaskan tarikh tersebut bukanlah tarikh sebenar.
“Untuk makluman, tarikh itu hanyalah digunakan bagi tujuan latihan dan simulasi kepada bakal petugas PRU14 semasa Program Taklimat kepada Pegawai-Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus PRU14 peringkat Kelantan di Kota Bharu pada 31 Julai 2017,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Menurut Mohd Hashim, program taklimat mengenai PRU-14 kepada semua bakal petugas PRU-14 sedang dijalankan di seluruh negara sejak awal tahun ini.
“Program ini adalah sebahagian daripada proses persiapan SPR untuk memberi latihan dan memperkemaskan kemahiran setiap petugas dengan peranan dan tanggungjawab mereka bagi menghadapi PRU14 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette