PUTRAJAYA – Meskipun persekitaran ekonomi global masih tidak menentu dan belum pulih sepenuhnya, namun ekonomi Malaysia kekal berdaya saing dan menunjukkan prestasi pertumbuhan yang cukup membanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bank Negara telah melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama tahun ini telah berkembang di luar jangkaan, iaitu pada 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2016.
Terkini, katanya, agensi berita Bloomberg melaporkan, ringgit Malaysia adalah nilai mata wang Asia paling kukuh berbanding dollar Amerika sepanjang suku kedua tahun ini, peningkatan hampir tiga peratus.
“Justeru, jika kita mahu menilai secara objektif dan adil, dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang gagal adalah meleset sama sekali.
“Hakikatnya, rakyat Malaysia dapat membina kehidupan yang lebih baik berbanding negara lain,” katanya berucap merasmikan Majlis Perdana Ulama Umarak dan NGO Islam bersama Perdana Menteri dan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini hari ini.
Kata Najib, kejayaan itu dibuktikan juga dengan pelbagai indeks antarabangsa yang mengukur pencapaian Malaysia.
Beliau memberi contoh, kajian Indeks Kebahagiaan Dunia 2017 telah meletakkan Malaysia kepada skor indeks 6.084 iaitu sebagai negara ketiga di rantau Asia paling bahagia selepas Singapura (skor indeks 6.572) dan Thailand (skor indeks 6.424).
Dalam senarai Laporan Daya Saing Global 2016-2017, terbitan Forum Ekonomi Dunia yang berpangkalan di Switzerland, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 daripada 138 negara.
“Dengan kedudukan ini, negara kita kekal berada dalam kalangan 20 peratus negara teratas paling berdaya saing, dan berada di kedudukan paling tinggi di kalangan negara membangun di Asia,” katanya.
Beliau turut berkata, dalam senarai Indeks Keamanan Global 2017 yang diterbitkan Institute for Economic and Peace yang berpangkalan di New York, Malaysia menduduki tempat ke-29 dari 163 negara yang disenaraikan.
Begitu juga, ujarnya, majalah Forbes dalam kolum International Living menyenaraikan Malaysia di tanggan keenam dalam kalangan negara terbaik sebagai tempat persaraan tahun ini.
“Malaysia adalah satu-satunya negara Asia yang berada dalam senarai 10 teratas dalam senarai ini,” katanya. – MalaysiaGazette