Datuk Khairil Anuar Aziz

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yakin masalah kekurangan pekerja asing di ladang-ladangnya dapat di atasi dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pegawai Bertanggungjawab, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, setakat ini hampir 600 tenaga kerja asing baharu telah diambil masuk.

“Ini merupakan keutamaan bagi FGV bagi memastikan pengeluaran yang optimum dari ladang-ladang kami.

“FGV amat menghargai komitmen dan sokongan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan dan semua warga kerja Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi.

“Penghargaan juga kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Kedutaan Indonesia,  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh dan Kedutaan Malaysia di Indonesia yang memberikan komitment tinggi terhadap usaha ini.

“FGV akan sentiasa memastikan setiap proses kemasukan tenaga kerja asing adalah mematuhi perundangan dan polisi yang ditetapkan di kedua-dua negara. Sebagai sebuah syarikat bertanggungjawab, kami komited terhadap standard yang ditetapkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dalam proses penggajian pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, FGV melancarkan program pengambilan tenaga kerja untuk sektor perladangan secara intensif.

Program tersebut berjalan lancar dan proses kemasukan tenaga kerja dari Bangladesh dan Indonesia telah mula direkodkan secara berperingkat pada bulan ini bagi menampung kekurangan kira-kira 8,000 orang tenaga kerja ketika ini.

Tambah Khairil, hasil usaha menambah tenaga kerja di ladang-ladang ini secara langsung akan membawa impak positif kepada syarikat dan pulangan yang akan diberikan kepada para pemegang saham termasuklah para peneroka.

Selain itu, FGV juga giat menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk sektor perladangan terutamanya dari segi penjenteraan bagi meringankan beban kerja dan mempercepatkan operasi harian.

“Tugas pekerja ladang banyak dibantu oleh peralatan mekanikal serta jentera berteknologi tinggi berbanding dahulu, oleh sebab itu FGV sedang meningkatkan promosi peluang pekerjaan ini di kalangan penduduk tempatan,” katanya

Permohonan boleh dihantar terus ke pejabat-pejabat FGV berdekatan atau e-mel terus ke [email protected]  dan untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya dan tarikh temu duga terbuka boleh melayari laman sesawang FGV di www.feldaglobal.com dan Facebook www.facebook.com/feldaglobalofficial/.- Malaysiagazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast