KUALA LUMPUR – Pelbagai versi kisah mengenai hantaran tinggi yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Polemik mengenai wang hantaran terus-terusan menjadi perbualan dan perbincangan orang ramai.
Namun apakah masyarakat kita benar-benar faham dan sedar? Mengangkat sisi kisah pemuda yang tersepit bila keluarga kekasihnya menetapkan hantaran tinggi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie bertajuk Mek Minya pada 11 Ogos ini pukul 9.30 malam do TV2.
Dalam satu kenyataan, telemovie itu dibintangi pelakon utama Izzue Islam, dan Falisha Crossley, juga turut dibantu oleh Sharifah Sakinah, Lan Zailan dan Kathy Azian.
Kisahnya berlatarkan watak pemuda bernama Mail yang telah diberi tempoh sebulan untuk menyediakan wang hantaran sebanyak RM15,000 oleh Pak Mus untuk mengahwini anaknya, Imah.
Mail tanpa membantah terus bersetuju untuk menerima syarat tersebut namun yang jelas ianya menimbulkan kerisauan pada ibunya, Mak Munah untuk menyediakan wang hantaran yang telah ditetapkan. Mana mungkin dalam tempeh masa yang singkat mereka mampu menyediakan jumlah wang yang disebutkan.
Mail kemudiannya mendapat idea dan berpakat dengan Sunti untuk menjadi ‘Mek Minyak’ (orang minyak) versi perempuan bagi menakutkan orang kampung. Keadaan kampung menjadi kecoh apabila ramai lelaki telah menjadi mangsa ‘Mek Minyak’.
Pak Mus sebagai Pengerusi JKK mengarahkan kawalan dilakukan dan akhirnya ‘Mek Minyak’ berjaya ditangkap dan rancangan Mail terbongkar. Mail meminta maaf dan Pak Mus kesal dengan tindakannya meletakkan nilai hantaran perkahwinan yang tinggi kepada Mail.
Namun adakah rancangan mereka berjaya diteruskan? – MalaysiaGazette