SINGAPURA – Singapore Airlines (SIA) meminta krew kabinnya mengambil cuti tanpa gaji bagi mengatasi masalah lebihan pekerja buat sementara waktu.
Dalam satu notis kepada krewnya, syarikat tersebut menawarkan cuti di antara September dan 17 November bagi membolehkan SIA “melakukan pengurusan sumber dan keperluan operasi yang lebih baik”.
SIA yang menghadapi persaingan daripada syarikat-syarikat penerbangan lain terutamanya bagi sektor jarak jauh premium, sudah berulang kali menyatakan keperluan untuk menjadi lebih fleksibel supaya mampu menghadapi cabaran operasi.
Menyentuh mengenai langkah terbaharu, seorang jurucakap SIA berkata, lebihan atau defisit sementara krew kabin bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi perniagaan mereka.
Skim tersebut katanya adalah sukarela.
SIA mempunyai 8,200 krew kabin dan kali terakhir mereka diminta mengambil cuti tanpa gaji adalah semasa krisis kewangan pada akhir 2008.
Krew kabin yang ditemui The Straits Times mempunyai pelbagai pandangan terhadap perkembangan terbaharu itu, ada sesetengah yang melihat langkah tersebut sebagai peluang untuk bercuti manakala sebilangan lagi melahirkan kebimbangan terhadap elaun yang sedikit akibat kurang masa bekerja.- MalaysiaGazette