Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlari ketika menyertai Sambutan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 dari Menara Berkembar Petronas ke Menara Naza, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pada usia 64 tahun ditambah dengan kesibukan tugas sebagai pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menunjukkan beliau seorang yang cergas dan sihat.

Semasa Larian Obor KLCC sempena Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2017, tidak ramai menyangka perdana menteri akan turut berlari bersama semua pelari termasuk tetamu VIP.

Ini menyebabkan wakil media terutama para jurugambar terpaksa berlari dua kali lebih laju daripada beliau dan kumpulannya bagi mendapatkan sudut gambar yang menarik.

“Tidak sangka pula beliau mahu berlari. Ingatkan hanya membuat pelepasan (flag off) atau setidak-tidaknya menaiki buggy sehingga ke Menara Naza,” kata seorang petugas media yang membuat liputan

Sepanjang hampir tiga kilometer itu, Perdana Menteri mengetuai larian yang turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Beliau berlari dengan tenang dan konsisten tanpa menunjukkan tanda-tanda mengah sebelum berhenti di perhentian pertama di hadapan Hotel Traders bagi penyerahan obor kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza World Group of Companies Sdn. Bhd, Datuk SM Faisal SM Nassimuddin sebelum kumpulan tersebut meneruskan larian ke Menara Naza.

Peserta kemudiannya meneruskan ke Menara Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Putrajaya pula.

Melihat kepada tahap kecergasan Najib yang berusia 60-an, rasa-rasanya rakyat Malaysia tidak lagi perlu memandang sehingga ke Kanada untuk mengagumi Perdana Menteri Justin Trudeau yang sangat aktif kerana kita juga memiliki ikon sebegitu.

Cuma apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia adalah kurangkan bercakap tetapi banyakkan bergerak untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.