Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
KUANTAN – Kerajaan akan menyiasat jika terdapat umat Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata siasatan terperinci termasuk penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah perlu kerana perkara itu melibatkan soal akidah umat Islam.

Katanya, bidang kuasa berkaitan akidah umat Islam tertakluk di bawah Enakmen Jenayah Syariah setiap negeri manakala bagi peringkat Wilayah Persekutuan, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Jika ada bukti penglibatan umat Islam dan ternyata perbuatan itu menjejaskan akidah, tindakan boleh diambil Jabatan Agama Islam setiap negeri atau Jawi. Saya akan minta Jawi untuk melihat perkara ini dengan lebih terperinci.

Sudah tentu kerajaan memandang serius dakwaan ini kerana ia membabitkan akidah umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid, Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkta Muhammad Faiz Hashim.

Asyraf Wajdi berkata demikian semasa diminta mengulas kewujudan akaun media sosial kumpulan itu di laman web Facebook, yang Ateis merujuk kepada individu yang tidak mempercayai tuhan dan tidak mempunyai pegangan agama.

Beliau menambah kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program bagi mengukuhkan pegangan akidah umat Islam sejak dari bangku sekolah, selain jabatan dan agensi agama juga saling berhubung bagi merancang program penerapan nilai Islam.

“Jika ada umat Islam yang terpengaruh dengan kegiatan seperti ini, tindakan undang-undang boleh diambil kepada mereka. Kita juga mempunyai program pendidikan, pemulihan dan penerangan bagi mengembalikan semula akidah mereka yang terpesong,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden 276 jemaah haji terkandas pada Khamis lalu, Asyraf Wajdi berkata insiden tersebut berlaku kerana prosedur ketat oleh kerajaan Arab Saudi atas faktor keselamatan yang menyebabkan berlaku keciciran sebahagian nama yang telah dikemukakan.

Bagaimanapun, beliau menambah perkara itu sudah diselesaikan dengan baik dan menyifatkan insiden tersebut sebagai fenomena sementara serta berharap bakal jemaah haji terus yakin dengan pengurusan Tabung Haji (TH).

“Ini adalah masalah luar kawalan dan sepanjang 54 tahun TH beroperasi, mereka tidak pernah berhadapan dengan masalah ini. Sekarang kita mengambil langkah-langkah mengandaikan ada keciciran dalam setiap penerbangan sebagai tindakan berwaspada.

“Pengalaman pada peringkat awal musim haji ini dapat membantu TH menguruskan kejadian ini dengan lebih sistematik dan berkesan dan saya berharap jemaah haji dapat bersabar,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Asyraf Wajdi berkata UMNO adalah satu-satunya parti yang ditubuhkan dengan dasar kesepaduan orang Melayu, berbeza dengan kewujudan parti lain yang ditubuhkan atas dasar kebencian atau kekecewaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepentingan untuk memastikan UMNO terus mendapat sokongan rakyat kerana survival UMNO menjamin masa depan generasi muda.

“Kalau UMNO jatuh siapa yang hendak memimpin? Kita hanya ada dua pilihan sama ada Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO atau pakatan pembangkang. Di dalam BN, dominannya mesti UMNO supaya kita boleh menjadi tonggak.

“Berbeza dengan pembangkang yang kita sendiri tahu siapa yang paling besar (jumlah kerusi Parlimen). Bukan PKR atau parti bunga (Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia). Kita sendiri tahu siapa di belakang mereka,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast