KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) telah membatalkan beberapa rangkaian penerbangan dalam dan luar negara secara sementara bagi memastikan ketahanan jangka panjang pesawat dan keteguhan operasinya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembatalan itu membolehkan penyelenggaraan yang lebih proaktif dilakukan terhadap pesawat dan mengurangkan risiko kerosakan pesawat dan memberikan pengalaman penerbangan yang terbaik kepada pelanggan.
Menurut beliau, keputusan itu juga adalah untuk memastikan standard keselamatan Malaysia Airlines bukan hanya dikekalkan tetapi diperkukuhkan menerusi beberapa langkah komprehensif bagi memperkukuhkan aspek-aspek penyelenggaraan pesawat.
“Malaysia Airlines juga telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu teknikal semasa dengan mengenal pasti dan membetulkan punca serta menambah baik protokol dan prosedur penyelenggaraan bagi memastikan piawaian keselamatan yang ditetapkan dapat dicapai.
“Semua langkah penyelesaian masalah yang diperlukan untuk mengasingkan kerosakan sedang dilakukan menggunakan manual penyelenggaraan pesawat terkini yang telah diluluskan.
“Dalam hal ini, Malaysia Airlines telah menggunakan teknologi moden dalam penyelenggaraan pencegahan dan ramalan untuk menjangka dan menangani isu sebelum ianya menjadi kritikal selain MAB juga sedang bekerjasama rapat dengan pengeluar pesawat dan enjin serta rangkaian pembekal yang berkaitan untuk menangani isu rantaian bekalan dan teknikal,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen yang membangkitkan masalah teknikal dari tahun 2023 sehingga 2024 yang dimenimpa pesawat Malaysia Airlnies dan menjelaskan kesan insiden ini kepada reputasi Malaysia Airlines pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Lisan.
Mengulas lanjut, Hasbi menambah, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selaku Badan Berkanun Persekutuan yang bertanggungjawab dalam pengawalseliaan teknikal penerbangan awam negara telah meningkatkan pemantauan dan menjalankan siasatan terhadap sebarang insiden yang melibatkan pesawat-pesawat kendalian syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.
Jelas beliau, dalam hubungan ini, CAAM telah menjalankan siasatan dan audit mengejut ke atas syarikat penerbangan Malaysia Airlines termasuk syarikat Malaysia Airlines Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat-pesawat MAB pada 24 hingga 28 Jun lalu.
Berdasarkan dapatan siasatan tersebut, antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawat Malaysia Airlines kemungkinan disebabkan masalah komponen mekanikal.
Selain itu, kekurangan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan meningkatkan tahap keberkesanan sistem pengurusan kualiti serta sistem pengurusan perihal selamat oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan MABES.
“Oleh yang demikian, bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan terhadap hasil siasatan mengejut CAAM, Malaysia Airlines telah menyediakan pelan mitigasi antaranya adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus
diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat.
“Pada masa yang sama, Malaysia Airlines juga telah melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai salah satu strategi meningkatkan keyakinan penumpang terhadap syarikat penerbangan tersebut selain memastikan ketersediaan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang telah dijadualkan,” katanya. – MalaysiaGazette