Home Ekonomi Kenaikan kos sara hidup, klinik swasta makin sukar

Kenaikan kos sara hidup, klinik swasta makin sukar

KUALA LUMPUR – Kenaikan kos sara hidup menyebabkan jumlah para pesakit atau pengguna di klinik-klinik swasta merosot dengan mendadak.

Penurunan itu dirasai terutama dalam kalangan pesakit yang terpaksa membayar sendiri kos rawatan dan perubatan.

Beberapa kakitangan klinik swasta yang ditemui MalaysiaGazette mengeluh keadaan itu benar-benar mencabar perniagaan mereka yang mula merudum sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Seorang kakitangan klinik swasta di Ampang yang mahu dikenali sebagai Suziana berkata, kalau sebelum ini jumlah pelanggan yang bayar sendiri dalam lingkungan lapan hingga 10 orang sehari tetapi sekarang hendak dapat suku daripada bilangan itu semakin sukar.

“Kalau yang datang pun hanya mahu mendapatkan rawatan sahaja. Ubat mereka memilih untuk beli di farmasi kerana dakwa mereka harga lebih murah. Ini menyebabkan pendapatan klinik merosot teruk,” katanya.

Jelas beliau, doktor tidak boleh menghalang pesakit mahu mendapatkan ubat di farmasi dengan nasihat dan preskripsi yang diberikan kerana itu pilihan mereka.

Suziana tidak menolak harga ubat di farmasi lebih murah kerana farmasi membeli secara pukal berbanding klinik.

Namun, beliau tidak menafikan ada klinik yang membotolkan semula ubat bagi mengurangkan caj ubat.

“Contohnya, kalau di farmasi ubat selsema seberat 60 mililiter dijual pada harga RM10 tetapi kalau dibotolkan semula klinik jual dalam RM7 hingga RM8 untuk 30 mililiter,” ujarnya.

Sementara itu, seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Chandra turut mengakui pendapatannya sebagai doktor ganti terjejas apabila klinik tempatnya berkerja di Lake Fields mengurangkan masa kerja beliau.

Beliau yang telah bersara sebagai penjawat awam berkata, dua tahun lalu dia berkerja empat hari seminggu tetapi sekarang dikurangkan kepada dua atau tiga kerana bilangan pesakit semakin berkurangan.

“Pemilik klinik terpaksa berbuat demikian untuk menampung kos sewa bangunan dan pekerja. Jika tidak dilaksanakan langkah-langkah ini, mungkin klinik kena tutup,” tambah Dr. Chandra.

Jelas beliau, kenaikan kos hidup mendorong ramai rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang harganya jauh lebih murah.

“Meskipun begitu, ia sukar untuk pengendali klinik-klinik swasta,” tambahnya yang mengakui jumlah pesakit di kliniknya menyusut lebih 50 peratus.

Tetapi, beliau melihat trend pesakit warga asing semakin meningkat di klinik swasta disebabkan caj di klinik kerajaan lebih mahal untuk warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette