Mohamad Ady Fakaruddin Adnan merupakan juara Man Of The Year (MOTY) Malaysia 2017.

KUALA LUMPUR – Pada enam bulan lalu, jejaka ini hanya sekadar suka-suka melakukan kerja sambilan sebagai model sambilan.

Malah pada masa sama, dia memberanikan diri menghantar pesanan di laman sosial kepada penganjur untuk menyertai pertandingan jejaka kacak.

Namun dia langsung tidak menaruh harapan tinggi.

Akhirnya rezeki tertulis buat pemilik nama sebenar Mohamad Ady Fakaruddin Adnan yang merupakan seorang konsultan unit amanah sejak dua tahun lalu.

Seorang yang ringkas, dia memiliki sifat ceria dan pandai menyusun kata serta berceloteh bila diajak berbual.

Barangkali, kebijaksanaannya bercakap dan kebolehan mengekspresikan ideologi merupakan salah satu kriteria yang melayakkan dirinya terpilih menjadi juara Man Of The Year (MOTY) Malaysia 2017.

Tanpa diduga, hasil kemenangan MOTYM itu, Ady yang berusia 25 tahun akan mewakili Malaysia ke peringkat dunia bermula 11 Ogos ini di Pekan Baru, Indonesia.

Walaupun usia agak terlewat, lelaki berketinggian 180 sentimeter ini sebenarnya mempunyai visi yang lebih tinggi dan pertandingan lelaki kacak sebagai satu platform untuk matlamat tersebut.

Fotografi bersama model baharu, Ady di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 JULAI 2017

“Saya sebenarnya mahu memberi inspirasi kepada lelaki lain. Ini merupakan satu langkah awal untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pertandingan lelaki kacak bukan sekadar pertandingan rupa paras dan bentuk badan tapi lebih penting sebagai satu cara berinteraksi serta bertemu dengan ramai golongan masyarakat.

“Di samping itu, penyertaan dalam pertandingan seperti ini memberikan keyakinan diri, peluang menampilkan lagi idea dan bakat yang ada dan ia bukan sekadar mempertandingkan siapa kacak atau tidak,” jelasnya yang merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik.

Bercerita tentang pembabitan awal dirinya dalam dunia modeling yang agak lewat, Ady berkata, sebelum ini tidak bertemu dengan pihak yang tepat untuk mengembangkan kariernya sebagai model.

Namun baginya, mungkin ada rahmat kerana pada usia sekarang dia sudang matang dan sedang berada pada kemuncak dalam kehidupan.

Ady bakal mewakili negara buat pertama pada pertandingan MOTY Dunia untuk edisi keduanya.

Sebagai wakil Malaysia untuk pertandingan peringkat dunia, jejaka kelahiran Kelantan itu mengakui merasai sedikit tekanan.

“Tekanan mesti ada. Jadi saya lakukan persediaan sebaik mungkin. Saya akan tumpukan dari aspek kesihatan mental dan fizikal.

“Dalam pertandingan tersebut kecerdasan minda merupakan salah satu ukuran dan saya berharap untuk kelihatan bijak.

“Selain itu saya juga perlu kelihatan lelaki ‘jantan’ dan moden sebagai bonus kriteria,” ujarnya.

Fotografi bersama artis baru Adi di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 JULAI 2017

Ady menaruh harapan agar tersenarai Top 5 pada pertandingan tersebut sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

Ditanya perancangan selepas pertandingan itu, Ady tidak digalakkan memasuki mana-mana pertandingan jejaka kacak bagi menjaga standard sebagai juara MOTY Malaysia.

Mengulas dunia modeling yang selalu mendapat tanggapan negatif, Ady mengakui senario itu.

“Semua atas diri sendiri tetapi yang penting saya hendak lebih fokus demi kejayaan masa depan.

“Mana-mana godaan saya akan tolak cara baik. Hendak kawan boleh sahaja,” katanya yang masih belum memiliki teman wanita. – MalaysiaGazette

TERIMA KASIH PENAJA:

Pakaian: Anas Abdullah@KeqasehByAnas (016693005) & Dicky Ishak (01123588940)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast