Rodrigo Duterte
Rodrigo Duterte

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyifatkan perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) adalah satu “mimpi yang tidak kesampaian” sambil menyatakan sokongan terhadap idea China iaitu Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Berucap semasa majlis penubuhan ASEAN, Duterte berkata, 10 ahli blok rantau ini perlu melihat integrasI ekonomi sebagai sesuatu yang serius.

“ASEAN mempunyai pegangan yang lebih besar daripada mana-mana bahagian dalam dunia untuk berdiri menentang perlindungan dan memastikan peraturan perdagangan antarabangsa dipatuhi,” katanya.

Tambah beliau RCEP boleh menyediakan laluan kepada usaha yang dilakukan oleh negara-negara anggota.

Rundingan katanya, perlu dimuktamadkan segera seperti mana yang diputuskan oleh pemimpin-pemimpin RCEP pada 2016.

RCEP ketika ini dirunding dalam kalangan 10 anggota ASEAN dengan China, Jepun, Australia, India, New Zealand dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette