PENDANG – Seorang ibu muda dekat sini merayu bantuan orang ramai untuk pembiayaan kos mesin sedut kahak jenis cas bateri bernilai kira-kira RM2,000 bagi penggunaan bayinya berusia dua bulan yang mengalami sindrom dagu kecil sejak lahir.
Siti Fatimah Othman, 21, dari Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Bukit Mat Inson berkata pada masa ini anak lelakinya, Addin Sufi, bergantung harap pada mesin jenis elektrik sumbangan Anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul baru-baru ini.
Namun katanya, penggunaan mesin itu terhad hanya di rumah kerana perlu kepada bekalan tenaga elektrik.
“Kami tidak mampu membeli mesin itu buat masa ini kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami, Shahrizal Abu Kasim, 30, yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,200 sebulan, yang cukup untuk belanja seharian. Lagipun untuk berulang-alik ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani juga memakan kos,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata sindrom dialami anak bongsunya itu menyebabkan saluran pernafasannya sempit hingga susu tidak boleh diminum melalui mulut seperti bayi lain dan kahak perlu disedut setiap kali saluran pernafasan itu tersumbat, terutama ketika bergerak aktif.
“Bagi membantu dia bernafas, Addin Sufi (telah) menjalani pembedahan kecil pada bahagian leher (ditebuk) semasa berusia enam hari (1 Jun) dan untuk minum susu, saluran tiub dimasukkan ke dalam hidung sebelum masuk ke dalam perut,” katanya.
Siti Fatimah berharap Lembaza Zakat Negeri Kedah (LZNK) dapat menyegerakan bantuan mesin jenis bateri yang dipohon semalam untuk digunakan pada awal September depan.
“Bulan depan saya kena bawa Addin (Sufi) ke hospital Sungai Petani. Saya bimbang jika mesin itu gagal diperoleh menyebabkan kami berdepan masalah untuk membawanya kerana perlu berhenti di premis yang ada palam elektrik untuk sedut kahak dia jika tersumbat sebelum meneruskan perjalanan. Jika tidak akan mengancam nyawanya,” katanya.
Sesiapa yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank Siti Fatimah bernombor 7047652567 atau menghubunginya di talian 017-5497964.
— BERNAMA