KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menerima Anugerah Tokoh Wanita (ATW) pada Majlis Minum Petang sempena 48 Tahun WANITA hari ini.
WANITA merupakan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan.
Isteri Perdana Menteri menjadi penerima pertama ATW berdasarkan jasa, sumbangan dan kecemerlangannya di peringkat nasional dan antarabangsa.
Anugerah yang julung kali diadakan itu adalah platform bagi memperlihatkan ketokohan, kewibawaan dan pemberdayaan wanita terhadap pembangunan sosial gender wanita Malaysia moden serta komprehensif mengikut peredaran zaman.
ATW juga turut mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan dan perkembangan sosio-ekonomi, memartabatkan wanita sebagai penggerak utama dan pemangkin inisiatif pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Sebelum itu, Rosmah turut merasmikan majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 20 selebriti termasuk Datuk Rosyam Noor sebagai pengacara yang turut sama memeriahkan acara di Dewan Besar Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini.
Sementara itu, sebanyak 12 anugerah disampaikan kepada personaliti terpilih yang pernah menghiasi muka hadapan majalah itu berdasarkan kriteria tertentu.
Antaranya jelas beliau, model dan pelakon terkenal Nasha Aziz dipilih untuk menerima Anugerah Cover Supermodel; bekas ratu cantik Malaysia, Kavitha Kaur (Cover Terlaris); Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Cover Kerabat Diraja); Puan Sri Normala Samsudin (Cover Personaliti TV); Puan Sri Tiara Jacquelina (The Most Appearances Cover); Noorkumalasari (Cover Artis Malar Segar dan Datuk Marina Chin (Cover Tokoh Sukan).
Selain mereka, Profesor Datuk Chef Wan dan anak perempuannya, Serina Redzuawan untuk Anugerah Cover Pertama Lelaki; Neelofa dan Rozita Che Wan (Cover Zero to Hero); pengasas produk Sweedskin, Datuk Seri Siti Noor Asikin; jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Vida; Datuk Seri Rozita Ramelan dan Datuk Aliff Shukri (D’Herbs) untuk Anugerah Cover Usahawan.
Dua lagi anugerah iaitu Anugerah Cover Girl Keluaran Pertama disampaikan kepada Zaimah Alias dan Cover Bintang Lagenda pula kepada Datuk Maria Menado.
Selain penghias kulit hadapan dari 1969 hingga 2017, bekas-bekas pengarang majalah Wanita juga akan diraikan dalam majlis itu.
Majlis juga diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.
Penaja utama majlis adalah produk kecantikan Sweedskin keluaran SNA Wellness International Sdn. Bhd., yang juga merupakan syarikat di bawah DSN Group milik Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor dan isterinya, Siti Noor Asikin.
Wanita merupakan majalah pertama buat kaum hawa di Malaysia diterbitkan pada 13 Ogos 1969 yang menampilkan pengisian gaya hidup, personaliti wanita berjaya, fesyen, kecantikan, kesihatan, isu-isu semasa dan pelbagai cerita menarik mengenai inspirasi wanita. – MalaysiaGazette