Puan Sri Normala Shamsuddin

KUALA LUMPUR – Ketika ditanya perkembangan diri yang terbaharu, pantas bekas personaliti TV3, Puan Sri Normala Samsudin menjawab.

“Perkembangan? Semakin kembang ni. Kalau tidak jaga, saya akan bertambah kembang lagi,” katanya tersenyum manis.

Entah di manalah ‘kembangnya’ itu sedangkan tuan punya diri kekal cantik dan menawan seperti 20 tahun lalu.

Namun kata isteri kepada bekas menteri, Tan Sri Azmi Khalid, beliau kembali aktif semula mendaki gunung dan merentas hutan sejak tiga tahun lalu.

“Saya telah ambil anisiatif untuk kembali ke hobi lasak seperti masuk hutan dan mendaki gunung semula sejak tiga tahun lalu.

“Antara gunung yang selalu saya daki seperti Bukit Broga, Gunung Nuang, Gunung Datuk (Negeri Sembilan), tahun lepas saya daki Gunung Kinabalu dan sebelum itu ke Gunung Batok di Bali.

“Tahun ini saya rancang akan daki lagi Gunung Kinabalu. Setiap minggu mesti ada aktiviti mendaki termasuk di Perlis kerana saya ada  kumpulan mendaki di sana.

“Mereka ini perlu sokongan dan ada mengikuti saya di laman sosial Instagram saya. Jadi aktiviti ini boleh mengembangkan dan mempromosi tempat-tempat menarik di Perlis,” katanya seronok bercerita.

Normala ditemui pada majlis Minum Petang sempena 48 Tahun WANITA di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menerima Anugerah Cover Personaliti TV.

Diminta berkongsi rahsia dirinya kekal cantik menawan walaupun bakal berusia 53 tahun tidak lama lagi, Normala yang pernah mendapat gelaran Wanita Melayu Terakhir seboleh-bolehnya segan dengan pujian itu.

“Saya tidak ada rahsia sangat. Cuma saya bahagia dan yang penting kena ikhlas dan bahagia diri sendiri seadanya dalam keadaan apa pun.

“Cantik ini adalah kurniaan Allah SWT dan Dia boleh ambil bila-bila masa. Saya tetap mengalami proses penuaan dan kesan kedutan namun yang penting bersyukur.

“Saya tidak ada pantang apa-apa makan sebab saya food lover. Jadi sebab suka makan saya kenalah rajin bersenam. Rawatan muka pun sudah jarang, kadang-kadang sekali dalam dua tiga bulan,” katanya yang sudah memiliki menantu.

Normala sempat berkongsi kebahagian apabila anak keduanya, Ruhila Roslan, 25, bergelar doktor selepas menerima ijazah pada majlis konvokesyen yang turut berlangsung pagi semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast