KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang disokong oleh pelaburan tempatan dan asing, peningkatan eksport serta sokongan berterusan kerajaan kepada syarikat-syarikat.

Menurut satu laporan, semua faktor berikut akan membantu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$1.3 trilion (RM5.6 trilion) menjelang 2030, sekali gus mengatasi Singapura.

Ketua Pakar Ekonomi, IQI Global, Shan Saeed berkata, disebabkan oleh Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China bakal membawa pelaburan yang besar ke dalam Malaysia.

“Inisiatif tersebut akan menjadi pengubah kepada Malaysia dan negara ASEAN lain seperti Indonesia dan Filipina.

“Tidak lama lagi, Singapura akan menyertai dua negara tersebut untuk mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan,” katanya kepada Bernama.

BRI adalah strategi pembangunan yang dicadangkan oleh Presiden China, Xi Jinping yang memberi fokus kepada kesalinghubungan dan kerjasama di antara negara-negara Eurasian.

Pada Mei tahun ini, sembilan perjanjian perniagaan dimeterai di antara syarikat-syarikat Malaysia dan China dengan anggaran pelaburan dianggarkan pada RM31.3 bilion.

Ini merupakan tambahan kepada 14 memorandum persefahaman berkaitan dengan pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan bernilai RM143.6 bilion yang dimeterai ada 2 November 2016.

Katanya, Malaysia mampu menjadi koridor perdagangan di antara ASEAN dan China.

“Negara akan mendapat banyak pelaburan, bukan sahaja dari China tetapi daripada pelabur global disebabkan oleh BRI,” katanya.- MalaysiaGazette