Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan mengikut standard prosedur operasi berhubung insiden kekerasan yang berlaku pada majlis ‘Nothing to Hide 2.0’ semalam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau telah mengarahkan polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan pendakwaan jika terdapat salah laku oleh pihak-pihak terbabit.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut SOP dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini selepas merasmikan sebuah kongres antarabangsa mengenai pengurusan air .

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas insiden lempar kasut dan beberapa objek lain ke arah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berucap pada majlis yang dianjurkan parti itu di Shah Alam.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku. Sebagai sebuah negara demokrasi, perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Walaupun berbeza pendapat tapi sebarang kekerasan terhadap mana-mana individu ataupun tokoh tidak harus berlaku,” katanya.

Beliau berkata,  program itu mempunyai permit penganjuran daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette