KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengimport telur ayam dari negara-negara Eropah.

Malah, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada telur atau hasilan telur terbabit dieksport ke Malaysia.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan termasuk telur ayam yang mengandungi fipronil adalah melakukan kesalahan.

Ia adalah di bawah peruntukan Seksyen 13 Akta Makanan 1983. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.

Beliau mengulas mengenai isu telur ayam yang tercemar dengan bahan kimia fipronil di Belanda yang mendapat liputan media sejak kebelakangan ini.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Pengambilan fipronil pada paras yang tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan. – MalaysiaGazette