KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan ada beberapa negeri pimpinan pembangkang yang menolak penglibatan UMNO menyertai perarakan kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

Katanya, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak perlu menafikan sejarah bahawa UMNO adalah parti yang memberikan kemerdekaan kepada rakyat negara ini 60 tahun lalu.

“Saya harap negeri pembangkang di Selangor, Pulau Pinang menyambut hari kemerdekaan dengan menjemput UMNO sama kerana merdeka tidak akan dicapai kalau tidak ada UMNO.

“Memang ada pertikai kenapa UMNO boleh turut sama dalam program anjuran pejabat daerah dan ini program kerajaan tidak ada kena mengena dengan politik,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dalam satu sidang media di Wisma FELCRA hari ini.

Turut hadir Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Zulkarnaini Eusope.

Tambah Ismail Sabri, pembangkang tidak harus menafikan peranan besar yang dimainkan UMNO kerana parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak itu tidak boleh dipisahkan dengan faktor kemerdekaan negara pada 1957.

“Jangan takut menjemput UMNO kerana ia fakta sejarah yang tidak boleh diubah. UMNO ada disitu bukan untuk berkempen tetapi berarak disitu kerana UMNO parti yang perjuangkan kemerdekaan. Jadi UMNO tidak boleh dipisahkan dengan merdeka.

“Kalau kerajaan negeri itu jujur dan profesional, kerajaan pembangkang juga mesti sebut usaha UMNO untuk capai kemerdekaan. Mereka tidak boleh kata pembangkang yang capai kemerdekaan, ini kerana UMNO,” katanya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast