KUALA LUMPUR – Kerusi yang dibaling dalam insiden Nothing To Hide 2.0 bukan ditujukan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi disebabkan oleh soalan panas berhubung isu tragedi Memali dakwa bekas Exco Armada, Mohamad Taufik Abas.
Beliau yakin tindakan itu perbuatan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri kerana tidak berpuas hati kepada soalan berhubung Memali daripadanya.
Mohamad Taufik juga mendakwa ramai kurang senang dengan jawapan bekas perdana menteri itu yang dilihat tidak menjawab soalan.
“Semasa Nothing To Hide, saya tidak membawa kawan, saya hanya berjumpa dengan beberapa orang rakan yang saya tidak kenal. Tapi semasa saya sedang bertanya soalan dan ketika jawapan (Mahathir) dan semasa saya mahu bertanya soalan lagi tiba-tiba kerusi sudah terbang.
“Jika seseorang mahu mencederakan Tun (Mahathir) mereka akan duduk di depan bukan baling di belakang. Saya yakin kerusi itu sebenarnya ditujukan kepada individu yang bertanyakan soalan,” kata Mohamad Taufik semasa sidang media hari ini.
Kekecohan dalam Nothing To Hide 2.0 pada Ahad lalu tercetus ketika soalan berhubung Memali itu diajukan oleh Mohamad Taufik yang disusuli kemudiaan dengan balingan kasut serta botol dan pergaduhan yang mengakibatkan dialog itu terpaksa dihentikan.
Mahathir tidak mengalami kecederaan dan dibawa keluar oleh pihak keselamatan namun pergaduhan masih berterusan di dalam dan luar dewan.
Mohamad Taufik menegaskan soalan berhubung isu Memali ditanya kerana beliau tidak berpuas hati dengan laporan kertas putih yang dikeluarkan semasa pemerintahan Mahathir dan mahu mendapatkan cerita sebenar sebalik insiden itu.
“Saya tidak berpuas hati dengan laporan kertas putih. Kalau laporan itu betul saya tidak pertikai. Saya akan terus berjuang (isu Memali) sehingga saya dapat siapa yang buat,” ujarnya.
Jelas Mohamad Taufik lagi, ramai penyokong dan ahli Armada juga tidak senang dengan kelantangan dan kritikan yang sering dibuatnya terhadap pimpinan PPBM dan tidak menolak ia memuncak semasa soalan diajukan pada dialog tempoh hari.
“Pihak penganjur perlu bertanggungjawab atas kegagalan program ini. Mereka sepatutnya tahu dialog sebegini akan banyak soalan yang sensitif dan akan berlaku provokasi. Mereka patutnya ketatkan keselamatan,” ujarnya.
Dakwaan Mohamad Taufik itu hampir sama dengan seorang lagi ahli PPBM Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin yang baru-baru ini membuat laporan polis mengatakan kerusi yang dibaling juga ditujukan kepada beliau kerana mahu menghalang daripada soalan panas terus ditanya.
Wan Mohammad juga meminta polis supaya menyiasat pihak penganjur dialog tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad Taufik juga mempertikaikan pemecatannya yang dibuat tidak mengikut prosedur sebelum berlangsung Nothing To Hide 2.0 apabila mengetahuinya melalui komen Twitter yang dilakukan oleh Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Saya tahu dipecat pun menerusi Twitter Syed Saddiq, saya tidak terima surat rasmi pemecatan,” ujarnya.
Forum Nothing to Hide 2.0 dianjur oleh Armada, sayap pemuda PPBM tapi ia yang diganggu oleh sekumpulan remaja yang bertindak membaling kasut dan botol air ke arah pentas tempat Dr Dr Mahathir sedang menjawab soalan daripada hadirin. Mereka juga membaling kerusi dan membakar suar.
Forum itu sepatutnya jadi pentas debat antara Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib bagaimanapun tidak hadir kerana merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian di Melaka.
Mahathir sempat menjawab lapan soalan sebelum majlis bertukar kecoh. – MalaysiaGazette