PUTRAJAYA, 18 Ogos -- UJI GELANGGANG … Atlet gimnastik negara Muhammad Abdul Azim pada sesi latihan Sukan SEA ke 29 di sini, hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA PUTRAJAYA, Aug 18 -- UJI GELANGGANG … National gymnastic athlete Muhammad Abdul Azim seen during the KL2017 SEA Games training session here, today. --fotoBERNAMA (2017) COPYRIGHT RESERVED

KUALA LUMPUR – Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) merupakan penampilan keduanya dalam temasya dwitahunan itu namun Muhammad Abdul Azim Othman, atau lebih mesra dipanggil Azim, sudah bersedia untuk mengharumkan nama Malaysia.

Anak jati Marang, Terengganu itu berkata walaupun rakan sepasukannya Jeremiah Loo Phay Xing berjaya meraih pingat perak pada Sukan SEA Singapura 2015, tetapi gimnas artistik berumur 20 tahun itu optimis beliau dan pasukannya akan memenangi pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini.

“Jika menang nanti, saya hendak dedikasikan pingat dekat mak ayah, keluarga, kawan-kawan, jurulatih dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada kami,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Azim berkata beliau akan beraksi dalam lima daripada enam acara gimnastik artistik lelaki pada temasya ini.

“Saya akan bertanding dalam acara senaman lantai, kekuda berpelana, melombol, palang sejajar dan palang tunggal tetapi tidak dalam acara gelang roman,” katanya.

Azim akan memburu emas bersama-sama rakan gimnas Jeremiah, Tan Fu Jie, Azroy Amierol Jaafar, Chau Jern Rong dan Zul Bahrin Mat Asri dalam pertandingan pada 20 Ogos di MITEC.

Menurut pengurus pasukan gimnastik Azmi Hassan, Azim paling berpotensi dalam kategori melombol dalam kalangan rakannya.

“Saya dapat melihat kelebihan bakat Azim dalam acara melombol dari segi persembahan rutin yang sempurna dan tidak terjatuh. Bagaimanapun persaing terdekatnya ialah Vietnam, dan semuanya bergantung kepada siapa yang melakukan rutin paling sempurna pada hari pertandingan,” katanya.

Jurulatih gimnastik artistik lelaki Ng Shu Liang, yakin anak didiknya akan melakukan yang terbaik dengan mengambil kira latihan intensif dijalani mereka khusus untuk KL2017.

Shu Liang, yang abangnya Shu Wai ialah pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006 berkata beliau tidak rasa tertekan walaupun anak didiknya bertanding di laman sendiri.

Katanya pesaing yang akan memberikan cabaran sengit pada pasukan negara ialah Vietnam kerana beberapa daripada gimnas mereka ialah pemenang pingat Sukan Asia dan juga Olimpian.

“Tetapi itu tidak melemahkan semangat kami, walaupun mereka gimnas bertaraf dunia, kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.- BERNAMA