KUALA LUMPUR – Suasana gamat melanda Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada malam Jumaat lalu apabila dua legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ella bergabung dalam satu konsert amal dikenali Konsert Pelarian.
Konsert makan malam yang menghimpunkan lebih 1,000 penonton itu menyaksikan bagaimana dua otai rock memberikan persembahan mantap mereka biarpun ia bertujuan untuk mengumpul dana buat mangsa pelarian Rohingya di Myanmar.
Gabungan ikon berkenaan amat memberi impak kepada peminat muzik rock memandangkan yang hadir kebanyakan peminat setia mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
Lebih istimewa apabila konsert itu turut diserikan dengan kemunculan kumpulan nasyid popular, Raihan selain persembahan pembukaan oleh bekas peserta Akademi Fantasia seperti Zahid, Haziq dan Maulana.
Suasana yang santai dan dewan yang tidak sesak telah membangkitkan semangat penonton untuk bangun dan berdiri sambil menyanyikan lagu-lagu dendangan Ramli dan Ella yang sudah lebih 30 tahun bertapak di dalam dunia seni.
Suasana mula gamat apabila Ramli muncul dengan membawakan lagu Orang Asing, Pelarian dan Hilang Gelap Terbit Terang.
Menurut papa rock itu, bukan mudah menganjurkan konsert malam itu kerana berdepan kekangan masalah penaja yang menarik diri.
“Tiada apa yang hendak disedihkan, Tuhan telah tetapkan apa yang telah berlaku,” kata bapa kepada seorang anak itu tersenyum.
Lantas, malam semakin panas apabila Ramli, 65, semakin bertenaga hingga menyebabkan penonton mula tidak senang duduk.
Kelihatan penonton teruja apabila turut bersama-sama menyanyikan lagu-lagu seperti Dunia Perlumbaan, Budaya, Jikalau Berkasih dan Teratai.
Selepas itu ratu rock negara, Ella terus membuatkan suhu malam semakin panas apabila tampil dengan lagu Permata Biru, Layar Impian, Dua Insan Bercinta serta berduet dengan Ramli menerusi lagu Kembara Kita.
Ramli menyambung aksi pentas dengan rangkaian lagu Tersendiri, Zakiah dan Jangan Tunggu Lama-Lama sebelum menjemput Raihan untuk berduet lagu Bukan Kerana Nama.
Seterusnya, kumpulan nasyid yang pernah mencetuskan fenomena itu mengubat kerinduan dengan lagu Thank You Allah.
Menghampiri penghujung konsert, Ramli kembali lebih bertenaga dengan turun bertemu penonton sambil mengalunkan suara garaunya menerusi lagu Batu, Ribut 10.50 sebelum menutup tirai malam menerusi lagu Kamelia. – MalaysiaGazette