Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli enggan melayan dakwaan kononnya menjadi ejen kepada seorang pemimpin kanan UMNO yang merancang untuk memecahbelahkan parti pembangkang.

Rafizi berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh peguam PKR, Latheefa Koya terhadapnya bukan suatu perkara baharu, malahan sudah mengetahuinya sejak setahun lalu apabila ada khabar angin mengatakan beliau menerima tawaran untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menukar dengan hukuman penjara yang bakal dihadapinya.

“Mengenai tuduhan saya ialah seorang ejen UMNO dan rujukan kepada “Ponorogo” seperti yang dituduh oleh Saudari Latheefa Koya (ahli Majlis Pimpinan Pusat), kempen mengaitkan saya sebagai ejen UMNO bukanlah satu perkara yang baru.

“Saya sedia maklum sejak lebih setahun yang lepas ada cerita yang dibawa di bawah kononnya saya telah dibeli oleh UMNO (melalui Datuk Seri Zahid Hamidi, sebab itu nama jolokan disebut “Ponorogo”) untuk menghancurkan KEADILAN dari dalam sebagai pertukaran kepada tidak ke penjara (kerana saya ada banyak kes di mahkamah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, ia tindakan yang membuang masa dan sia-sia untuk menjawab dakwaan tersebut, sebaliknya menggesa supaya kerja ditumpukan dalam pilihan raya umum yang diadakan kelak.

“Saya berlapang dada dan tidak akan menjawab tuduhan-tuduhan itu kerana kita kesuntukan masa.

“Masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada membina kempen di kerusi-kerusi marginal yang dibantu INVOKE dengan turun ke bawah berkempen setiap minggu,” kata Rafizi lagi.

Rafizi juga menafikan ada bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional sepanjang hidupnya, tetapi hanya sekali terserempak dengan Ahmad Zahid itu pun semasa di mahkamah pada 2012 lalu.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa saya tidak pernah berjumpa mana-mana menteri atau pimpinan kanan UMNO/Barisan Nasional seumur hidup saya selain berselisih di Parlimen.

“Saya hanya bertemu Datuk Seri Zahid Hamidi sekali sahaja di mahkamah dalam tahun 2012 untuk menyelesaikan kes saman beliau terhadap saya,” katanya lagi.

Mengenai tuduhan Latheefa, Rafizi berkata, beliau memaafkan tindakan peguam tersebut kerana memahami emosi seseorang dalam berpolitik.

“Saya memaafkan Saudari Latheefa Koya dan semua yang membuat pelbagai tuduhan terhadap saya,” katanya.

Pergaduhan Rafizi dan Latheefa tercetus kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu yang mencadangkan supaya Kongres Khas diadakan bagi menyelesaikan status hubungan antara PKR dengan Pas.

Latheefa dalam kenyataan di Facebook semalam mendakwa Rafizi setiap hari berhubung dengan ‘Geng Ponorogo’ dan sentiasa membuat ugutan untuk melompat parti.

Ponorogo dikaitkan dengan seorang menteri UMNO yang berasal dari Indonesia. – MalaysiaGazette