ARAFAH- Perjalanan membawa lebih 332,000 jemaah haji 1438 hijrah menuju ke Arafah berjalan lancar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham, operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan seperti biasa bagi mengangkut jemaah haji.
Ujarnya, jumlah itu membabitkan pergerakan tren mencecah 117 peratus, melebihi daripada sasaran ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Ketika ini, Tren MMMSL beroperasi tujuh hari bermula 29 Ogos lalu hingga 4 September depan.
Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Arab Saudi menangani masalah kesesakan di Arafah, khususnya pada hari wukuf yang juga kemuncak ibadah haji.
Ia turut diiktiraf sebagai tren metro berkepadatan penumpang paling tinggi dan paling sibuk di dunia.
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji itu. -MalaysiaGazette.