Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memberikan Kawalan Terhormat kepada perbarisan Utama Batalion Pertama Askar Melayu Diraja sambil diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2017 disambut meriah dan gilang gemilang dan kira-kira  50,000 rakyat membanjiri Dataran Merdeka.

Orang ramai sudah mula membanjiri dataran dan mengambil tempat seawal pukul 6.30 pagi lagi.

Pelbagai pengisian acara perbarisan dan perarakan dipersembahkan menjurus ke arah tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu, “Negaraku Sehati Sejiwa”.

Majlis dimulakan setelah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Sultan Muhammad V tepat pukul 8.10 pagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sambutan merdeka kali ini.

Sambutan Kebangsaan dimulakan dengan footage perbualan kanak-kanak pelbagai kaum dengan seorang tua yang dipanggil Atuk.

Mereka bertanya Atuk apa ertinya ‘merdeka’ dan bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara sehinggalah perisytiharan kemerdekaan untuk direnungi anak merdeka generasi sekarang.

Atuk mula menceritakan tentang bagaimana negara mencapai kemerdekaan menerusi kisah-kisah derita, penaklukan tentera Jepun dan komunis sehingga perisytiharan kemerdekaan oleh bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Acara disusuli dengan Leftenan Komander Sharif Kalam dan Pegawai Waran 1 Bintara Oliver Culvelt Samuel serta 3 anggota TLDM menaikkan bendera Jalur Gemilang.

Kemudian 14 das tembakan meriam diikuti lagu kebangsaan dan disusuli bacaan ikrar oleh pembaca ikrar dari Passukan Maktab Tentera Diraja.

Memandangkan sambutan kali ini adalah ke-60, pengisian sambutan digarap selari dengan konsep menghidupkan kembali penghayatan dan semangat Merdeka di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 dengan gema laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ada diantara orang ramai kelihatan menitiskan air mata akibat tidak dapat menahan emosi, melihat peristiwa perjuangan tokoh negara yang dilakonkan semula hari ini.

Acara padang pula, tema sambutan “Negaraku Sehati Sejiwa” diterjemahkan dalam bentuk persembahan khas yang berteraskan sebuah penceritaan dari proses mencapai kemerdekaan, kegemilangan dan Pembangunan Malaysia dari 1957 hingga masa kini berlandaskan perpaduan dengan pergerakan yang melambangkan perpaduan dalam keluarga, pembangunan ekonomi, peningkatan teknologi terkini.

Persembahan itu disokong dengan penglibatan ribuan pelajar sekolah dan diikuti sesi bacaan ikrar yang akan dipimpin oleh 3 generasi dari Angkatan Tentera Malaysia (darat, laut dan udara) yang terpilih.

Antara persembahan yang terdapat pada Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur . foto IQBAL BASRI, 31 OGOS 2017

Segmen perarakan menampilkan lapan kontinjen utama iaitu Kenegaraan, Perpaduan, Animasi &Industri Kreatif, Sukan SEA dan Para ASEAN, Kontinjen Transformasi Nasional (TN50), Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, ATM dan aset serta pertunjukkan udara dan akhirnya komponen rakyat bersepadu.

Pada acara perbarisan hari ini, lapan segmen dengan jumlah kontinjen 18,076 orang dan 311 aset dan 80 haiwan dalam perkhidmatan.

Kemunculan Kontinjen Sukan SEA yang berjaya menggondol 145 emas pada temasya dwitahunan ke-29 kali ini menerima ‘standing oviation’ hadirin serta kanak-kanak.

Malah perbarisan aset ATM serta aset TUDM turut mencuit tumpuan remaja dan kanak-kanak yang menabik semasa perarakan tersebut.

Sebagai merakyatkan acara sambutan Merdeka di Dataran Merdeka kali ini, teres tempat duduk manusia di sepanjang laluan dari Dataran Merdeka sehingga sepanjang Jalan Raja Laut dan ke pusat beli-belah Sogo dengan kapasiti 6,000 orang.

Malah untuk memudahkan orang ramai melihat acara perbarisan, skrin LED sepanjang 200 meter dan sembilan meter tinggi turut disediakan.

Perbarisan secara rasminya tamat pukul 10.30 pagi hari ini dengan disusuli Lagu Negaraku dan keberangkatan pulang Sultan Muhammad V pukul 10.40 pagi.- Malaysia Gazette