Maglin Dennis D'Cruz

KUALA LUMPUR – Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas masih tetap optimis untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun kerusi itu enggan mahu dilepaskan MIC.

 ini kita masih belum tahu siapa calon di Cameron Highlands. Jika BN tak beri tiket saya bertanding, saya buat tiket sendiri memandangkan tempat itu bebas,” beliau dipetik berkata.

Jelasnya, sejak kerusi itu ditinggalkan penyandangnya, Datuk Seri G Palanivel beliau sering menjalankan kerja dengan turun padang bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan oleh Barisan Nasional (BN).

“Dua tahun kerusi Parlimen Cameron Highlands ditinggalkan dan kini bebas. Sejak itu juga saya turun padang, jadi saya buat keputusan untuk bertanding di situ,” ujarnya.

Menurut Kayveas lagi, sebelum menjalankan kerja di Cameron Highlands beliau sudah memberitahu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mendapat restu sepenuhnya.

“Malah, sebelum keputusan itu, saya maklumkan dulu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk bekerja, beliau kata OK pergi kerja. Jadi, lebih baik saya bertanding, kenapa perlu bagi orang lain (bertanding),” katanya.

Kerusi Cameron Highlands kini menjadi rebutan antara MIC dengan MyPPP selepas Palanivel menjadi ahli parlimen bebas.

Baru-baru ini, ketika merasmikan Konvensyen MIC Pahang Ke-71, di Temerloh, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S Subramaniam mahu kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada PRU-14 kerana kerusi tradisi MIC sejak dulu. – MalaysiaGazette