Liow Tiong Lai

BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Pengangkutan sedia mengkaji keperluan syarikat penerbangan di negara ini menawarkan insurans tambahan kepada penumpang jika ada permintaan daripada pihak berkepentingan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelaksanaan dasar sedemikian tidak boleh dibuat secara melulu kerana akan melibatkan kos.

“Buat masa sekarang semua syarikat penerbangan memang ada menawarkan insurans (penerbangan) untuk penumpang.

“Contohnya apabila berlaku tragedi MH17 dan MH370 (memang ada pampasan), ” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) Mengenai Keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Mengulas lanjut, Liow berkata bagaimanapun buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk syarikat penerbangan di negara ini menawarkan insurans tambahan itu yang merupakan pilihan kepada penumpang sendiri sama ada mahu mendapatkan perlindungan tambahan atau berpuas hati dengan yang sedia ada. – MalaysiaGazette