Norjuma Habib Mohamed.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhi hukuman denda RM1,000 terhadap bekas pengacara televisyen, Norjuma Habib Mohamed atas pertuduhan mencakar dan menampar seorang wanita, empat tahun lalu.

Beliau dijatuhi hukuman tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mahkamah turut memerintahkan usahawan tudung berusia 45 tahun itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili Norjuma, Faiz Kamal Jaafar merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda sahaja.

“Anak guam saya tidak bekerja dan kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan. Bapanya yang bersara menanggungnya,” katanya.

Norjuma didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.30 pagi pada 18 Oktober 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Pertuduhan terhadap Norjuma dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada 27 Jun tahun lalu, empat Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Norjuma kerana gagal hadir untuk sebutan kes membabitkan lima pertuduhan jenayah terhadapnya.

Sebelum itu, pada April tahun lalu, Norjuma mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela ke atas tiga individu serta melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan harta benda di sebuah kondominium. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tidak hadir prosiding sebutan kes, Norjuma dikenakan waran tangkap

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast