Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Pertemuan antara mufti seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak minggu lalu sebulat suara bersetuju isu berkaitan kesahtarafan anak di negara ini dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan Pentadbiran Negeri.

Pertemuan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu melibatkan kehadiran Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd. Wahid; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Mufti Johor, Datuk M. Tahrir Samsudi; Mufti Sabah, Bungsu@Aziz Jaafar.

Turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang; Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Salleh dan wakil Mufti Negeri Sarawak.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, pertemuan itu bagi membincangkan isu anak tidak sah taraf.

Kata beliau, akta atau enakmen itu memperuntukan jika seseorang perempuan berkahwin dengan seseorang lelaki, melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Katanya, lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.

“Pertemuan ini turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

“Kita mengatur pertemuan ini untuk menzahirkan kesepakatan bersama dalam isu kesahtarafan anak,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Othman, peruntukan undang-undang itu juga selaras dengan fatwa yang telah diwartakan di negeri berkenaan dengan kesahtarafan anak dan juga pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-57 pada 10 Jun 2003. – MalaysiaGazette