Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar

BALIK PULAU- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar mempertimbangkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tanpa mendedahkan nilai peruntukan tambahan itu berkata ia adalah antara lain bagi menjaga kebajikan guru Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

“Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memang sangat prihatin dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru KAFA ini. Pada masa yang sama, kementerian dan agensi lain juga mengemukakan cadangan bajet masing-masing.

“Jadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengumumkan pada 18 Okt ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 di Maahad Al Mashoor Al Islami di sini hari ini.

Mohd Na’im juga berkata kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA dan menghargai jasa dan peranan besar mereka.

Tahun lepas, Anwar mengumumkan sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 termasuk sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 kepada lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti.

Ia melibatkan peruntukan lebih RM50 juta bagi menghargai jasa dan peranan besar golongan berkenaan di seluruh negara.

Pada majlis itu, Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang berlangsung sejak Jumaat lepas.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr. Mohd Sukki Othman.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast