Home Nasional Rakyat Malaysia pertahan perkhidmatan hospital kerajaan

Rakyat Malaysia pertahan perkhidmatan hospital kerajaan

Hospital Sultanah Aminah

KUALA LUMPUR – Rata-rata rakyat Malaysia tidak puas hati dengan kenyataan seorang warga Singapura yang mendakwa Hospital Sultanah Aminah (HSA) menangguhkan rawatan sehingga mendapat bayaran tunai menyebabkan rakannya, Justanian Tan meninggal dunia.

Menerusi komen-komen di Facebook, kebanyakan rakyat Malaysia mengutuk kenyataan yang dibuat oleh Joshua de Razio secara sinis.

Seorang wanita, Chan Lilian menerusi Facebooknya berharap Joshua tidak lagi melangkah masuk ke Malaysia selepas membuat tuduhan buruk ke atas Malaysia.

Menurut Lilian, tuduhan yang dilemparkan oleh Joshua melalui media negara itu seolah-olah menunjukkan Malaysia tidak cekap dan tidak berkemahiran berbahasa Inggeris

“Saya memahami anda mengalami trauma kehilangan kawan tetapi ia bukan alasan untuk membuat kenyataan di media dan membuat alasan keanak-anakan sedangkan anda jelas apa yang anda hadapi,” katanya sambil berharap Kementerian Kesihatan mengambil tindakan saman.

Justanian, 25, yang bersama lima rakannya dirempuh oleh sebuah kereta kira-kira 3 pagi Jumaat lalu ketika berjalan ke kereta selepas makan lewat malam.

Kejadian itu menyebabkan Justanian mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri.

Media The Independent melaporkan Justinian meninggal dunia selepas HSA menangguhkan rawatan dan imbasan ke atasnya sehingga mendapat bayaran tunai.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh Kementerian Kesihatan dan memaklumkan mangsa diberikan rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa sebarang desakan untuk bayaran deposit terlebih dahulu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, warga Singapura itu yang dalam keadaan kritikal, terus dimasukkan ke Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSA dan diberikan rawatan kecemasan sejajar protokol Sokongan Nyawa Trauma Lanjutan (ATLS) yang sudah dimulakan dalam ambulans.

Sementara itu, Kamarul Ariffin Nor Sadan pula mempersoalkan kebenaran dakwaan kakitangan hospital tidak tahu berbahasa Inggeris.

Katanya, kakitangan sokongan mungkin tidak berapa fasih berbahasa Inggeris, tetapi tidaklah boleh dikatakan “speak little English”.

Ini kerana di hospital, komunikasi tentang keadaan pesakit dan dokumentasinya menggunakan Bahasa Inggeris.

Malah, secara sinis, Kamarul Ariffin berkata: “Bahasa kebangsaan Singapura adalah Bahasa Melayu. Jadi, isunya petugas hospital tak fasih Bahasa Inggeris atau beliau tak fasih Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negaranya sendiri?,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kebenaran tentang ketibaan ambulans di tempat kejadian kerana panggilan bantuan dibuat oleh orang ramai.

“Beliau (Joshua) tidak tahu bila panggilan itu dibuat. Jadi, bagaimana dia buat anggaran ambulans tiba setelah 30 minit panggilan dibuat?,” tanya beliau lagi.

Seorang pengguna Facebook, Samson Singh pula berkata, setahunya semua hospital kerajaan Malaysia adalah paling murah dan mengenakan bayaran selepas rawatan bukan sebelum.

Katanya lagi, mangsa mungkin dapat diselamatakan jika keluarga Justanian tidak memindahkan beliau ke hospital lain.

Sementara itu, Willy Wee Lee Suan pula menuntut Joshua yang melakukan fitnah membuat permohonan maaf.

“Kami bekerja untuk merawat setiap pesakit pada tahap terbaik. Anda, kawan kepada mangsa yang memfitnah kami, anda berhutang kemaafan kepada kakitangan kesihatan Malaysia,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast