KUALA LUMPUR – Bajet 2018 yang akan dibentangkan Oktober ini merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan dalam dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan menunggu sehingga tahun 2050 untuk melaksanakan input yang disuarakan dalam beberapa siri dialog sebelum ini.
Sebaliknya kata beliau, mana-mana maklum balas atau cadangan yang sesuai akan diterima dan dimasukkan dalam belanjawan negara.
“Dialog TN50 ini bagi membuat perubahan pada masa akan datang, tetapi kita akan melaksanakan apa yang sesuai pada masa ini.
“Sebagai contoh perubahan dalam bidang pendidikan hanya dinikmati pada dua atau tiga generasi akan datang,” katanya semasa sesi TN50 dan sambutan Hari Wanita Kebangsaan, di sini hari ini.
Pada sesi tersebut Najib turut memberikan bayangan beberapa berita baik berkaitan wanita yang akan diumumkan dalam Bajet 2018.
“Saya tak mahu beritahu sekarang. I don’t want to let the cat out of the bag,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Bajet 2018 akan mengambil kira kekuatan kewangan negara.
Tambahnya, menguruskan perbelanjaan negara sama dengan pengurusan kewangan rumah tangga dan kerajaan tidak boleh membelanjakan semua wang yang ada bagi mengelak masalah kemudian hari.
Katanya, hasil negara perlu ditingkatkan sekiranya mahu belanjawan yang lebih banyak.
“Sumber kewangan yang ada untuk program pendidikan, kesihatan, kemahiran dan latihan yang membabitkan wanita bukan datang dari langit,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut meminta rakyat supaya tidak termakan dengan pembohongan yang dibuat oleh pembangkang kononnya mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Ia hanya cakap kosong untuk menagih sokongan rakyat,” katanya.
Hadir sama pada program itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya, Datuk Azizah Mohd Dun.
Seramai 18 wakil wanita mencakupi pelbagai latar belakang iaitu profesional, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan gelandangan mengambil bahagian dalam sesi dialog itu. – MalaysiaGazette