Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR РPermodalan Nasional Berhad (PNB) mahu meletakkan wakil lembaga pengarahnya dalam syarikat- syarikat yang dikuasai kepentingannya melebihi 15 peratus.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, cadangan bagi pelaksanaan model itu sedang dalam peringkat akhir untuk dikemukakan.

Cadangan itu bukan membabitkan semua entiti yang dikuasainya tetapi ia tertakluk kepada syarikat yang mempunyai jumlah pulangan pemegang saham (TSR) yang rendah.

Menariknya cadangan ini membolehkan PNB membantu syarikat-syarikat berkenaan memperoleh pulangan lebih baik, sekali gus mampu memberi agihan dividen yang tinggi.

“Ia bukan membabitkan semua syarikat, model berdasarkan TSR, jika pulangan di bawah pasaran kita boleh melaksanakan program untuk tingkatkan TSR.

“Macam di MMC, kita ada wakil. Di Telekom Malaysia belum ada,” katanya dalam taklimat media baru-baru ini.

Katanya, PNB sudah pun mengemukakan perkara ini kepada beberapa syarikat dan setakat ini maklum balasnya adalah positif.

Sementara itu, pemilikan kepentingan PNB dalam syarikat-syarikat bukan teras adalah dinamik.

Abdul Wahid berkata, ia bergantung kepada keselesaan dan kepercayaan PNB pada industri dan syarikat berkenaan.

Malah, peluang PNB untuk meningkatkan kepentingannya juga  bergantung kepada kualiti pengurusan syarikat yang dilaburkan.

“Sebab itu ia dinamik kerana kita akan selalu buat penilaian. Kalau prestasi baik dan prospek industri akan lebih baik, kita akan tingkatkan. Kalau kurang cerah, PNB akan kurangkan,” ujarnya sambil memberitahu pendekatan tersebut berbeza dengan syarikat strategik.

Pada masa ini PNB memiliki lebih 40 syarikat teras dalam pegangannya. – MalaysiaGazette