KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mensasarkan untuk mencapai pertumbuhan aset di bawah pengurusannya berjumlah RM350 bilion dalam tempoh lima tahun lagi berbanding RM266 bilion sekarang.
Sasaran itu berdasarkan unjurkan pertumbuhan 5.0 peratus setahun dalam pelaburan pemegang-pemegang unit amanah dan pelaburan milik PNB.
Sejajar dengan itu, Pengerusi KumpulanĀ PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, institusi itu sedang meneroka peluang untuk meningkatkan jumlah dan nilai pelaburan patuh Syariah ekuiti instrumen.
Jelasnya, pelaburan dalam instrumen patuh Syariah menjadi fokus PNB kerana ia aspirasi pemegang unit-unit amanah dan penting dari sudut perspektif para pelabur.
Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan kewangan Islam di negara ini masih kecil, lantaran itu PNB secara terbuka menyokong jika penubuhan bank Islam kedua diwujudkan seperti yang digalakkan oleh Bank Negara Malaysia.
“Contohnya seperti cadangan penggabungan MBSB dengan Asian Finance Bank, yang akan menambah institusi kewangan Islam yang disenaraikan. Ini baik untuk industri.
“PNB juga menyokong jika ada mana-mana perbankan Islam sedia ada yang mahu meningkatkan saiz bagi menjadi sebuah institusi perbankan universal.
“Selain itu PNB sedang melihat bagaimana kita boleh meningkatkan jumlah dan nilai ekuiti dalam instrumen Islam melalui pemain-pemain (institusi kewangan) utama yang sedia ada,” katanya dalam taklimat di sini.
Abdul Wahid berkata, setakat hari ini pelaburan dalam patuh Syariah dalam sektor-sektor lain tidak ada kekangan kecuali perkhidmatan kewangan.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu kreatif dalam melihat tawaran dapat ditingkatkan.
Setakat 30 Jun lalu, sebanyak 69 peratus pelaburan PNB dalam ekuiti awam, 20 peratus tunai. 5.0 peratus peelaburan pendapatan tetap serta 3.0 peratus dalam hartanah dan pelaburan persendirian.
Pengerusi PNB menambah, setakat Disember tahun lalu, 69 peratus peruntukan aset kos PNB adalah patuh Syariah dan entiti itu menetapkan sasaran untuk meningkatkan ekuiti tersebut dalam portfolio pelaburan PNB lebih daripada 75 peratus pada tahun 2020.
PNB juga mensasarkan meningkatkan penempatan pasaran wang sekuriti pendapatan tetap patuh Syariah sehingga 100 peratus pada Mei 2018 berbanding 75.2 peratus pada Julai lalu. – MalaysiaGazette