KUALA LUMPUR – Polis menolak kemungkinan letupan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara ada kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Polis Diraja Malaysia

Petang tadi, dua bom molotov cocktail berisi petrol dibaling depan pusat hiburan di Kota Damansara mengakibatkan seorang pekerja Bangladesh cedera, namun Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zaini Che Din menolak ia ada kena mengena dengan kumpulan pengganas.

“Kejadian itu berlaku pada jam 4.15 petang dan kita dapati dua bom molotov cocktail berisi petrol dilemparkan di depan pintu masuk kelab malam tersebut.

“Dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang menyebabkan pekerja Bangladesh itu cedera di tangan dan kepala.

“Kita lihat kes ini daripada setiap sudut dan pemilik premis dipercayai diugut sebelum ini untuk wang perlindungan. Kes ini tidak melibatkan serangan IS,” katanya selepas melawat tempat kejadian.

Polis juga sedang mengesan dalang kejadian bom tersebut.

Tahun lepas, sebuah kelab malam di Puchong juga di baling bom buatan sendiri sehingga mengakibatkan beberapa individu tercedera.

Hasil siasatan polis berjaya memberkas suspek dan mendapati mereka yang terlibat mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan dibawa ke muka pengadilan.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar premis itu.

“Suspek dipercayai menggunakan kereta jenis Audi berwarna hitam dan kita berjaya dapat nombor pendaftaran kereta terbabit.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast